Tambah teks

Untuk menggantikan teks ruang letak pada slaid, dwiklik teks dan menaip teks anda sendiri. Jika anda mahu menambah teks lain pada slaid, selain daripada ruang letak sedia ada, anda boleh menambah kotak teks baru kemudian gantikan teks ruang letaknya.

Kotak teks ialah objek yang boleh diubah suai seperti kebanyakan objek lain; anda boleh memutarnya, menukar jidarnya, mengisinya dengan warna, menindan dan banyak lagi. Terdapat kawalan khusus teks untuk menukar rupa teks dalam kotak—termasuk fon, warna, saiz dan penjajarannya.

Anda juga boleh menambah dan mengedit teks dalam sel bentuk atau jadual dan memformatkannya seperti sebarang teks lain.

Cipta kotak teks baru

  1. Klik Butang teks dalam bar alat.

    Kotak teks ditambah pada slaid anda (anda boleh menukar rupa teks kemudian).

  2. Taipkan teks anda sendiri untuk menggantikan teks ruang letak.

  3. Saiz semula kotak teks, jika perlu, dengan memilihnya dan menyeret sebarang pemegang pilihan (segi empat putih).

  4. Seret kotak teks ke tempat yang anda mahukan pada slaid.

Untuk memadamkan kotak teks, pilihnya, kemudian tekan Padam.

Salin dan tampal teks

Untuk menggunakan semula pilihan teks dengan cepat, salin dan tampalnya.

  1. Pilih teks, kemudian pilih Edit > Salin (daripada menu Edit di bahagian atas skrin anda).

  2. Klik di tempat yang anda mahu tampalkan teks, kemudian Pilih Edit > Tampal.

Jika anda menyalin teks dan mahukan ia sepadan dengan gaya teks yang anda tampal, pilih Edit > Tampal dan Padankan Gaya.

Salin dan tampal gaya teks

Anda boleh menyalin gaya untuk teks yang dipilih sahaja dan menggunakan gaya tersebut pada teks lain.

  1. Pilih teks, kemudian pilih Format > Salin Gaya (daripada menu Format di bahagian atas skrin anda).

  2. Pilih teks lain untuk menggunakan gaya, kemudian pilih Format > Tampal Gaya.

Masukkan aksara khas dan simbol

Anda boleh memasukkan aksara khas dalam teks, seperti simbol matematik; huruf dengan tanda aksen; anak panah dan emotikon; aksara Jepun, Cina dan Korea; dan banyak lagi.

  1. Klik tempat yang anda mahukan aksara atau simbol untuk muncul.

  2. Pilih Edit > Aksara Khas (dari menu Edit berada di bahagian atas skrin anda).

    Tetingkap Aksara dibuka.

    Tetingkap Aksara Khas menunjukkan emotikon, butang untuk jenis simbol berlainan di bahagian bawah dan petak bual ke butang untuk menunjukkan tetingkap Aksara penuh
  3. Klik ikon di bahagian bawah tetingkap Aksara untuk memilih kategori aksara. (Klik anak panah kiri atau kanan untuk melihat lebih banyak kategori).

  4. Klik aksara yang anda mahu masukkan.

Untuk maklumat mengenai penggunaan papan kekunci dan kaedah input untuk bahasa lain, klik desktop untuk bertukar kepada Finder, pilih Bantuan > Bantuan Mac (dari menu Bantuan di bahagian atas skrin anda) dan cari "Menu input.”