Tambah atau padamkan carta

Anda boleh memaparkan data anda menggunakan carta 2D, 3D dan carta interaktif.

Selepas anda mencipta carta, masukkan data untuk carta tersebut dalam editor data carta. Apabila anda membuat perubahan dalam editor data carta, carta akan dikemas kini secara automatik.

Cipta carta lajur, bar, garis, kawasan atau pai

  1. Klik Butang Carta dalam bar alat, kemudian klik 2D, 3D atau Interaktif.

  2. Pilih jenis carta.

    Klik anak panah kiri dan kanan untuk melihat lebih banyak pilihan warna atau gaya.

    Jika anda menambah carta 3D, anda melihat Kawalan putaran di pusatnya. Seret kawalan ini pada bila-bila masa untuk melaraskan orientasi carta.

  3. Klik Edit Data Carta.

    Editor Data Carta muncul dengan data ruang letak.

  4. Masukkan data anda sendiri dalam editor Data Carta.

    Anda boleh menambah nombor, tarikh atau tempoh dalam sel data. Untuk memformatkan nombor, klik menu timbul Label Nilai dalam tab Siri pada bar sisi di sebelah kanan.

  5. Untuk menukar sama ada baris atau lajur diplotkan sebagai siri data, klik satu butang di penjuru kanan atas jadual.

Cipta carta serak

Carta serak menunjukkan perhubungan antara dua atau lebih set data. Ia memaparkan data sebagai titik dan memerlukan sekurang-kurangnya dua lajur atau baris data (nilai x dan y) untuk memplot nilai untuk siri data tunggal. Secara lalai, setiap siri data dalam carta serak berkongsi nilai paksi x dan oleh itu, anda hanya perlu menambah baris atau lajur tambahan untuk menunjukkan siri data lain.

  1. Klik Butang Carta dalam bar alat, klik 2D atau Interaktif, kemudian klik carta serak.

    Untuk lebih banyak gaya carta serak, ketik Interaktif. Klik anak panah kanan dan kiri untuk melihat lebih banyak pilihan warna atau gaya.

  2. Klik Edit Data Carta.

    Editor Data Carta muncul dengan data ruang letak. Setiap lajur berwarna mewakili siri data untuk diplotkan pada carta.

  3. Masukkan data anda sendiri dalam Editor Data Carta.

    Untuk memformatkan data sebagai nombor, tarikh atau tempoh, klik tab Siri di bahagian atas bar sisi di sebelah kanan, klik segi tiga pendedahan bersebelahan Label Nilai, kemudian pilih kotak semak Nilai. Klik menu timbul Label Nilai dan pilih pilihan. Untuk maklumat lanjut mengenai memformat label nilai, lihat Ubah suai rujukan data carta.

  4. Lakukan mana-mana daripada yang berikut:

    • Tukar sama ada baris atau lajur diplotkan sebagai siri data: Klik butang di penjuru kanan atas Editor Data Carta.

    • Gunakan nilai paksi x berlainan untuk setiap siri data: Klik Butang Konfigurasi, kemudian nyahpilih Kongsi Nilai X. Klik setiap sel untuk memasukkan nilai x dan y anda sendiri untuk siri data.

    • Tambah siri data lain: Taipkan nama siri data baru dalam lajur kosong seterusnya (atau baris, jika memplot mengikut baris), kemudian tekan Return.

  5. Tutup Editor Data Carta untuk kembali ke carta anda.

Cipta carta gelembung

Anda boleh menggunakan carta gelembung untuk memplot data dengan tiga dimensi. Setiap siri data termasuk dimensi ketiga yang menunjukkan perhubungan antara nilai yang dibandingkan (x dan y) dan nilai saiz (z). Nilai saiz menentukan saiz gelembung.

Secara lalai, setiap siri data dalam carta gelembung berkongsi nilai paksi x, jadi anda hanya perlu menambah dua baris atau lajur tambahan untuk menunjukkan siri data lain. Jika anda memilih untuk menggunakan nilai paksi x bebas, anda perlu menambah tiga baris atau lajur tambahan (x, y dan z) untuk menunjukkan siri data lain.

  1. Klik Butang Carta dalam bar alat, klik 2D atau Interaktif, kemudian klik carta gelembung.

    Untuk lebih banyak gaya carta gelembung, ketik Interaktif. Klik anak panah kiri dan kanan untuk melihat lebih banyak pilihan warna atau gaya.

  2. Klik Edit Data Carta.

    Editor Data Carta muncul dengan data ruang letak (paksi x, paksi y dan nilai saiz). Setiap lajur berwarna mewakili siri data untuk diplotkan pada carta.

  3. Klik setiap sel untuk memasukkan nilai x, y dan nilai saiz anda sendiri untuk siri data.

    Untuk menambah siri data lain, taipkan nama siri data baru dalam lajur kosong seterusnya (atau baris, jika memplot mengikut baris), kemudian tekan Return.

  4. Untuk menukar sama ada baris atau lajur diplotkan sebagai siri data, klik butang di penjuru kanan atas Editor Data Carta.

  5. Jika anda tidak mahu menggunakan nilai paksi x yang sama untuk setiap siri data, klik Butang Konfigurasi, kemudian nyahpilih Kongsi Nilai X.

  6. Klik tab Siri di bahagian atas bar sisi di sebelah kanan.

    Jika anda tidak nampak bar sisi atau bar sisi tidak mempunyai tab Siri, klik Butang Format dalam bar alat.

  7. Dalam seksyen Data Gelembung pada bar sisi, klik menu timbul nilai saiz, kemudian pilih cara anda mahu mewakili nilai saiz gelembung (kawasan atau diameter).

  8. Jika anda mahu menunjukkan gelembung dengan nilai negatif, pilih kotak semak “Tunjukkan gelembung negatif”.

Padamkan carta

  • Pilih carta, kemudian tekan Padam.